Thursday, July 25, 2013

PROGRAM 3K (KEMPEN KESELAMATAN KANAK-KANAK)

Keselamatan kanak-kanak di negara ini menuntut keprihatinan semua lapisan masyarakat. Kes-kes yang mengugat keselamatan dan hak kehidupan kanak-kanak yang tragis seperti penculikan, penderaan, rogol dan pembunuhan berlaku di mana-mana. Sesungguhnya, kanak-kanak yang masih lemah dan mentah memerlukan pembelaan yang lebih serius dari masyarakat. Laporan statistik 2008 dari Jabatan Kebajikan Masyarakat menunjukkan kes penderaan kanak-kanak termasuk penderaan seksual meningkat 21% kepada 2780 kes berbanding tahun 2007 sebanyak 2279 kes. 



Pada tahun 2011, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) mengeluarkan statistik bahawa 7 daripada 10 mangsa rogol adalah kanak-kanak. Di Kuala Lumpur sahaja kes cabul dan rogol membabitkan kanak-kanak dibawah usia 12 tahun direkodkan sebanyak 124 kes dari 2009 hingga Jun 2012. Semua statistik diatas tidak termasuk kes pembunuhan dan pembuangan bayi yang dapat dijumpai dan dikesan iaitu purata 5 kes sebulan.


Yayasan Wanita Islam (YATI) merasa terpanggil untuk bersama mengatasi masalah social yang kronik ini. Satu program yang dipanggil “Kempen Keselamatan Kanak-kanak (Program 3K)” akan dilaksanakan selama setahun iaitu sepanjang tahun 2013 di mana tahun 2013 ini akan dijadikan tahun kempen menyedarkan masyarakat Malaysia tentang peri pentingnya menjaga keselamatan kanak-kanak. 


Turut akan dilibatkan dalam menjayakan kempen ini nanti ialah Kementerian Wanita dan Pembangunan Keluarga, Polis DiRaja Malaysia, Kementerian Pendidikan Malaysia, pihak media dan agensi-agensi yang berkaitan. YATI akan menjadi penggerak utama (prime mover) bagi penganjuran aktiviti-aktiviti yang bermakna dan berkesan bagi memenuhi kalender satu tahun kempen.


No comments:

Post a Comment